Selasa, 1 Mac 2011

7,878 tentera darat bakal khatam al-Quran

KUALA LUMPUR: Seramai 7,878 anggota tentera lain-lain pangkat dan pegawai dalam perkhidmatan tentera darat akan khatam al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun ke-78 Tentera Darat di Kem Wardieburn, di sini pada 4 Mac ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin berkata, selain majlis khatam itu, acara sambutan pada kali ini juga akan ada sedikit kelainan. Bagaimanapun, aktiviti konvensional seperti perbarisan dan perutusan Panglima Tentera Darat (PTD) akan tetap diadakan.

Katanya, buat pertama kalinya tahun ini pameran statik dan aktiviti berkaitan kepakaran pelbagai unit tentera darat (TD) akan dipertontonkan kepada orang ramai di Dataran Merdeka, di sini bermula 4 hingga 6 Mac ini.

“Perbarisan yang diadakan itu akan membabitkan antara 3,000 hingga 4,000 anggota beserta aset sedia ada dalam TD. Selain itu, program hiburan dari Badan Kebudayaan TD juga diadakan bagi menghiburkan pengunjung,” katanya pada sidang media sempena Sambutan 78 Tahun Tentera Darat di Wisma Transit, di sini.

Hadir sama, timbalannya Leftenan Jeneral, Datuk Wira Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi.

Menurutnya, bagi yang berminat menjadi anggota tentera, pengambilan turut diadakan termasuk anggota sukarela atau wataniah.

Antara acara pada sepanjang hari pameran tersebut diadakan ialah :

1) Perbarisan anggota dan aset ketenteraan.
2) Pameran statik dan dinamik aset ketenteraan.
3) Pertunjukan 'Army Red Warrior'.
4) Persembahan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).
5) Pertunjukan payung terjun.
6) Demonstrasi kepakaran unit-unit tertentu dalam Tentera Darat.
7) Pendaftaran kerjaya Tentera Darat kepada orang ramai.

HUT TD 78 : Merakyatkan Tentera Darat

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan ulang tahun ke-78 penubuhan Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini, satu slogan iaitu Your Army akan diperkenalkan dalam usaha merapatkan lagi hubungan tentera dengan masyarakat.

Panglima TDM Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin berkata, slogan itu walaupun dalam bahasa Inggeris tetapi ia mudah difahami semua orang iaitu bermaksud merakyatkan tentera darat.

“Slogan ini sesuai dengan warga tentera darat dalam menghayati konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Untuk itu bagi tema sambutan pula, kita memilih 1 Angkatan: Tetap Gagah, Tetap Setia,” katanya dalam satu wawancara khas bersama media sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Hadir sama, timbalannya, Leftenan Jeneral, Datuk Wira Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi.

Beliau berkata, bagi merealisasikan slogan itu, pelbagai program bercorak kemasyarakatan akan dijalankan TDM tahun ini dan antara usaha itu termasuk program jiwa murni iaitu membantu masyarakat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita telah membuat ketetapan aspek jiwa murni ini akan dipergiatkan bagi membantu kerajaan iaitu seperti membina jalan raya, membina rumah bagi golongan kurang kemampuan dan membantu apabila berlaku bencana alam,” katanya.

Pameran dan Demonstrasi Besar-Besaran Tentera Darat Malaysia bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke 78 akan diadakan dari 4 Mac hingga 6 Mac 2011 mulai jam 0900hingga 2200 setiap hari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tema sambutan pada kali ini adalah ' 1 ANGKATAN TETAP GAGAH TETAP SETIA '.

Antara acara pada sepanjang hari pameran tersebut diadakan ialah :

1) Perbarisan anggota dan aset ketenteraan.
2) Pameran statik dan dinamik aset ketenteraan.
3) Pertunjukan 'Army Red Warrior'.
4) Persembahan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).
5) Pertunjukan payung terjun.
6) Demonstrasi kepakaran unit-unit tertentu dalam Tentera Darat.
7) Pendaftaran kerjaya Tentera Darat kepada orang ramai.

Pelbagai Usaha Akan Dibuat Tentera Darat Untuk Membantu Masyarakat

KUALA LUMPUR, 28 Feb -- Tentera Darat Malaysia (TDM), yang menyambut ulang tahun ke-78 penubuhannya hari ini, akan mengadakan program "merakyatkan tentera darat" dalam usaha merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat.

Panglima TDM Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin berkata ianya selaras dengan slogan sambutan Hari Tentera Darat ke-78 tahun ini iaitu "Your Army".

"Slogan "Your Army" itu yang kita buat untuk tahun ini antara lain adalah untuk "merakyatkan tentera darat Malaysia" jadi bila kita kata "Your Army" maksudnya tentera untuk semua orang.

"Ianya sesuai dengan warga tentera darat bagi (mereka) menghayati konsep 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya dalam satu wawancara khas Isnin bersama media sempena sambutan ulang tahun itu.

Beliau berkata tema sambutan Hari Tentera Darat ke-78 ialah '1 Angkatan: Tetap Gagah, Tetap Setia' yang sejajar dengan konsep 1 Malaysia.

Menurutnya antara usaha yang akan dijalankan oleh pihaknya untuk "merakyatkan tentera darat" ialah menerusi aspek jiwa murni iaitu dengan membantu kerajaan dan masyarakat secara berterusan.

"Kami telah membuat ketetapan bahawa aspek jiwa murni akan dipergiatkan di mana bantuan dalam aspek membantu kerajaan iaitu seperti membina jalan, rumah-rumah membuat rumah dan juga program lain yang akan kita umumkan tidak lama lagi," kata Zulkifeli.

Katanya, sambutan Hari Tentera Darat ke-78 ini menonjolkan kelainan iaitu selain upacara tradisi perbarisan dan perutusan panglima di Kem Sungai Besi, ia turut disambut di markas briged seluruh negara.

Ianya akan bermula pada 4 Mac hingga 6 Mac dan ini adalah kali pertama hari hari terbuka tentera darat dibuka bagi tontonan umum masyarakat negara ini.

Beliau berkata pelbagai acara akan diadakan pada waktu tersebut seperti pameran statik dan dinamik, persembahan hiburan Badan Kesenian Tentera Darat, pertunjukan 'Army Red Warriors', dan lain-lain lagi.

Menurutnya pada hari terbuka itu juga tentera darat akan turut membuka pendaftaran kerjaya sebagai Tentera Darat kepada orang ramai.

"Saya mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk datang dan melihat sendiri hari terbuka tersebut, mana tahu ada di antara mereka yang berminat untuk menjadikan tentera darat sebagai kerjaya" katanya.

Menurut beliau, usaha untuk menarik minat lebih ramai awam terutama dari orang bukan Melayu untuk menyertai tentera darat akan terus ditingkatkan.

"Tentera darat sememangnya menggalakkan rakyat Malaysia yang memenuhi syarat-syarat kelayakan kemasukan untuk menyertai tentera darat tanpa mengira status kaum," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana tentera darat menyokong konsep 1Malaysia, Zulkifeli berkata pihaknya sentiasa peka dan berusaha menjalin hubungan yang kukuh dan akrab di kalangan anggota yang terdiri dari berbagai agama dan bangsa.

"Saya tidak memandang anggota tentera darat sebagai Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya...bagi saya mereka semua adalah anggota yang mempunyai tugas dan peranan yang satu iaitu mempertahankan dan membela maruah negara ini," katanya.

Beliau berkata tentera darat merupakan satu kelompok gagasan 1Malaysia yang padu dan ia jelas dilihat dari kesanggupan, penyertaan dan semangat rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berganding bahu serta mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan negara.

Menurutnya atas pengorbanan tersebut tentera darat memandang serius serta mengutamakan prinsip kesaksamaan untuk setiap kaum di negara ini.

"Perkara ini dimanifestasikan melalui pengurusan sumber manusia yang adil, peningkatan kualiti kehidupan setiap keluarga dan kebebasan beragama di mana tiada mana-mana pihak dipinggirkan," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, 25 Februari 2011

1 ANGKATAN : Tetap Gagah, Tetap Setia - Hari Ulang Tahun TDM Ke 78

TARIKH 1 Mac merupakan tarikh keramat bagi setiapwarga Tentera Darat (TD). Sejak ditubuhkan pada 1Mac 1933 dianggotai oleh 25 orang anak watan yang menyertai Kompeni Percubaan Askar Melayu, TD telah melalui pelbagai cabaran serta evolusi yang tersendiri. Walaupun ramai yang beranggapan bahawa TD masih ‘muda’ jika dibandingkan dengan angkatan tentera darat yang lain, kita telah membuktikan keupayaan kita bukan sahaja mendokong dasar pertahanan negara tetapi juga kemampuan mempertahankan kemakmuran dan kedaulatan negara.


Selama 78 tahun juga, cukup banyak perubahan-perubahan yang telah dilaksanakan. Kelengkapan serta peralatan tempur yang diperuntukan kepada kita kian berkembang. Di dalam jangkamasa yang singkat ini kita telah berjaya membangunkan keupayaan TD menjadi sebuah angkatan yang kredibel dan mempunyai keupayaan mempertahankan kedaulatan negara. Walau apa jua perubahan yang dialami dari segi persenjataan mahupun peralatan, yang tidak boleh berubah adalah semangat dan nilai-nilai murni sebagai anggota tentera. Tidak ada perkara mustahil, yang tidak dapat dilakukan dengan disiplin serta semangat setia kawan yang tinggi. Dari sebuah pasukan yang kecil, TD telah melalui berbagai duri dan ranjau penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Darurat, Konfrontasi dan perang melawan insurgensi. Semua ini dilakukan dengan terbaik, dengan semangat perjuangan yang kental dan tidak kenal menyerah. Itulah TD yang harus kita banggakan. Setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan, kini TD telah berubah mengikut peredaran zaman dan cabaran masa kini. Perubahan-perubahan yang nyata lebih kompleks dan mencabar memerlukan TD lebih bersiap sedia bagi menghadapi evolusi yang mendatang.


Sebagaimana pepatah ‘jika tidak ada yang lama, masakan ada yang baru!”, justeru, pengorbanan para pahlawan mempertahankan kedaulatan negara perlu kita contohi dan hayati. Malah semangat sanggup berkorban yang menjadi pegangan para pahlawan yang terdahulu jangan sekali luput dari ingatan kita. Keikhlasan dalam melaksanakan tugas, rajin serta gigih berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta diri sendiri, mengekalkan tahap disiplin profesyen ketenteraan yang tinggi dan bermoral tinggi adalah antara nilai-nilai yang perlu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi. Semua ini amatlah perlu agar TD dilihat sebagai sebuah organisasi yang terbaik. Ini akan melayakkan TD untuk bersaing dengan lain-lain angkatan pertahanan di rantau ini. Nilai-nilai ini juga akan menjadi landasan kepada kekuatan TD menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman. Melalui proses evolusinya, dan sejak kemerdekaan negara ini, peranan TD selaku benteng pertahanan dalam memelihara kedaulatan dan mengekalkan ketenteraman dan keamanan negara yang berdaulat menjadi suatu tuntutan yang besar. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa cabaran alaf globalisasi akan lebih tertumpu kepada peperangan teknologi dan ledakan era teknologi maklumat serta lahirnya masyarakat tanpa sempadan. Ini menjadikan tugas TD semakin sukar.


Sejajar dengan perubahan ini, adalah wajar untuk TD mempersiapkan organisasi dan anggotanya untuk menggalas cabaran-cabaran tersebut agar organisasi dapat berperanan dengan lebih berkesan. Persekitaran strategik global dan serantau sentiasa berubah dan tidak menentu, sekali gus membawa pelbagai ancaman, cabaran dan peluang. Ketidakstabilan rantau ini boleh mengundang kuasa-kuasa besar bertapak semula di rantau ini. Sebagai anggota tentera, kita perlu membuat persediaan yang terbaik. Secanggih manapun peralatan pertahanan yang dibekalkan kepada kita, sekiranya kita tidak berupaya menukar minda atau merubah paradigma kita dan mempertingkatkan ilmu ketenteraan serta kemahiran yang sedia ada, kecanggihan peralatan tersebut tidak mendatangkan manfaat. Dengan keyakinan serta tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat, amat jelas setiap warga TD harus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap profesionalisme di samping berusaha gigih melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan dan penuh kewibawaan. Kejayaan satu-satu angkatan tentera itu diukur melalui anggota yang berkualiti.


Oleh itu, tumpuan yang menyeluruh perlu diberikan untuk melahirkan anggota yang kompeten dan versatile. Keperluan menyediakan anggota yang berpengetahuan, kompeten dan bersikap positif amatlah penting bagi menentukan segala aset canggih yang dimiliki oleh TD dapat menghasilkan keupayaan yang dihasratkan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, setiap warga TD mestilah menyemai semangat perpaduan demi untuk keutuhan TD amnya, komited, bertanggungjawab serta ‘accountable’ dalam segala tindak-tanduk. Kelebihan inilah yang dapat membawa TD untuk mengharungi cabaran-cabaran masa hadapan dengan berkesan.


TD perlu mempamerkan keupayaan untuk bertindak sebagai sebuah angkatan tempur yang kredibel dan seimbang serta berdaya tahan untuk memikul amanah sebagai benteng pertahanan negara. Pun demikian, kelengkapan yang serba canggih tidak akan menjanjikan kejayaan dalam satu-satu pertempuran. Keupayaan serta aset sumber manusia juga perlu selaras dengan pembangunan teknologi pertahanan itu sendiri. Sebagai sebuah organisasi profesional, TD perlu sentiasa meningkatkan kepakarannya agar berupaya bergerak selaras dengan perubahan yang berlaku disekeliling. Perkembangan teknologi yang berlaku perlu diapplikasikan dengan sebaik mungkin. Mengekalkan keamanan dan kedaulatan yang dinikmati sekarang, adalah sumpah keramat dan amanah rakyat yang dipikul oleh TD.


Sebagai sebuah organisasi TD merupakan tulang belakang pertahanan negara dan memainkan peranan yang penting didalam menjamin keamanan dan kestabilan negara bagi membolehkan negara menjadi maju dan makmur. Oleh itu, demi memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat, TD perlu bersedia menggalas cabaran ini agar dapat berperanan dengan lebih berkesan serta memperlihatkan kemampuannya sebagai sebuah ketumbukan yang decisive dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi.

1 ANGKATAN : TETAP GAGAH, TETAP SETIA


Oleh : BN1 R515AW

Khamis, 24 Februari 2011

Majlis Pembarisan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen 515 Askar Wataniah Ke 9

LT Siri 2 : Majlis Pembarisan Sambutan HUT Rejimen 515 Askar Wataniah Ke 9

Kuala Lumpur, 20 Feb 2011 – Komander Rejimen 515 Askar Wataniah (R515AW), Yang Berbahagia Briged Jeneral Mohd Amin Bin Md Din merasmikan Majlis Pembarisan Sambutan Hari Ulangtahun (HUT) Rejimen 515 AW Yang Ke 9 dan pembukaan latihan anggota sukarela tahun 2011 bertempat di Padang Kawad Kem Wangsa Bukit Keramat R515AW bersebelahan Kem Transit, penubuhan Rejimen 515 AW pada 1 Februari 2002. Ini merupakan sambutan HUT R515AW yang ke 3 di Kem baru yang mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2009, yang sebelum di Kem Jalan Ampang R515AW.

Pembarisan ini diadakan bertujuan untuk memperingati dan menghargai ulangtahun penubuhan Rejimen 515 AW sebagai Benteng Pertahanan ke 2 TDM untuk menjaga dan melindungi keselamatan negara daripada serangan musuh. Melalui majlis ini, warga R515AW dapat melihat kembali tujuan penubuhannya dan seterusnya melihat ke hadapan memastikan R515AW sentiasa relevan dan bersedia menghadapi perubahan dalam persekitaran yang semakin mencabar khususnya dalam peperangan alaf moden dengan segala aset-aset peperangan tercanggih dan terhebat. Turut hadir ialah Timbalan Komander R515AW, Lt Kol Hj Roslan Hj Zakaria , pegawai-pegawai tentera tetap dan pegawai sukarela.

Ucapan perasmian oleh Komander R515AW Briged Jeneral Mohd Amin Bin Md Din, beliau telah menyentuh beberapa perkara seperti R515AW ialah satu-satunya rejimen AW yang kini dilengkapi dengan infrastruktur yang moden dan terbaik yang harus dihargai dan dijaga dengan baik supaya tahan lama untuk kegunaan anggota-anggota lain pula. Kehadiran yang sangat tidak memuaskan walaupun kem 515AW yang dulu di Kem Jalan Ampang telah dipindah dan dinaik taraf tetapi masih tidak mampu meningkatkan jumlah kehadiran LT pada tahun 2010 yang lepas. Beliau juga menyentuh mengenai pelbagai aktiviti R515AW sepanjang tahun ini yang salah satunya ialah pelancaran Kompeni Askar Wataniah kawasan parlimen yang akan dilakukan selama lebih kurang seminggu pada 10 Mei 2011 untuk persiapan sehingga tarikh sebenar Majlis Perasmian Pembarisan Kompeni Askar Wataniah Parlimen Kuala Lumpur iaitu pada 15 Mei 2011 di Dataran Merdeka. Majlis Perasmian Pembarisan ini nanti turut menggunakan beberapa Aset-aset Tentera Darat untuk kegunaan perasmian, julung kalinya perasmian Kompeni Askar Wataniah peringkat Parlimen menggunakan aset-aset penting Tentera Darat dan juga melibatkan kehadiran Panglima, orang-orang kenamaan VVIP dan pihak pemberita. Ia satu pengiktirafan bagi R515AW yang akan membantu menaikkan nama R515AW dan mencipta sejarahnya tersendiri dalam Malaysia amnya dan khususnya untuk Rejimen Askar Wataniah. Setiap anggota sukarela R515AW sepatutnya merasa bangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Markas Tentera Darat, untuk itu kepada anggota sukarela yang berminat untuk menyertai pembarisan julung kalinya diadakan, sila berikan nama kepada batalion masing-masing. Program besar seumpama ini juga telah diberi pengiktirafan oleh Datuk Bandar untuk dilakukan di Dataran Merdeka walaupun tempat yang dicadangkan pada awalnya ialah di Putrajaya/UM. Kerjasama daripada semua anggota sukarela R515AW untuk menjayakan program itu nanti amat diperlukan dan dihargai sekiranya tenaga manusia yang digunakan untuk tujuan tersebut hanyalah dari R515AW sahaja tanpa bantuan daripada unit-unit lain.

OC latih Lt Kol Abdullah Ibrahim telah menyebut latihan tempatan tahun ini dijalankan 2 tempat.

1. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – Kehadiran anggotanya dalam siri latihan sebelum ini sangat menggalakkan dengan menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dari agensi atau individu lain. LT akan dilakukan kampus UIAM.

2. R515AW – Siri LT untuk individu dan mana-mana agensi yang lain.

Gambar-gambar dibawah ini menunjukkan gelagat anggota sukarela semasa sambutan HUT R515AW sebelum dan selepas ketibaan Komander Rejimen dan Pegawai-pegawai Rejimen.


Pbt Alias dan Pbt Lee menunggu ketibaan lauk-pauk masa jamuan makan tengahari

Pbt David tengah termenung jauh sebelum tiba waktu makan tengahari

Pbt Loga dan Pbt Naim sedang memerhatikan sesuatu, Naim macam dah tak sabar untuk makan

Menu makan tengahari

Pbt Umar Ismail dari UIAM

Anggota sukarela dari UIAM dan lain-lain agensi rancak berborak sambil menunggu ketibaan Komander dan barisan kepimpinan R515AW

Majlis pemotongan pulut kuning dari barisan pegawai-pegawai kepimpinan R515AW diketua Komander R515AW Briged Jeneral Mohd Amin Bin Md Din


Displin merupakan cara hidup bagi tentera, nak makan kena berdiri dulu sambil menonton pemotongan pulut kuning oleh Komander R515AW

Artikel Oleh : Pbt Mohd Nakhain (BN1 R515AW)

Raptai Pembarisan Hari Ulang Tahun Rejimen 515 Askar Wataniah

Kem Wangsa Bukit Keramat, 19 Feb 2011 – Anggota-anggota sukarela Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) telah menghadirikan diri untuk Latihan Tempatan Siri 1 bagi tahun 2011 di Rejimen 515 Askar Wataniah (R515AW). Kehadiran ini amat penting bagi seluruh pasukan R515AW kerana pada keesokkan harinya iaitu 20 Feb 2011, Majlis Perasmian Pembarisan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen 515 Askar Wataniah akan diadakan bertempat di Padang Kawad R515AW dan perasmiannya akan dilaksanakan oleh Komander Rejimen 515 AW Yang Berbahagia Briged Jeneral Mohd Amin Bin Md Din.

Kehadiran anggota sukarela pada Latihan Tempatan Siri 1 ini untuk melaksanakan Raptai Pembarisan Sambutan HUT R515AW. Sesi latihan raptai ini tamat jam 3.00 petang, raptai penuh pembarisan akan dilakukan pada jam 7.00 pagi esok (20 Feb) dan Majlis Perasmian Pembarisan Sambutan HUT R515AW akan dilakukan jam 8.30 pagi pada hari yang sama.

Cik Bahaddin yang mengendalikan raptai HUT R515AW pada hari tersebut walaubagaimanapun tidak dapat menghadirkan diri pada Hari Jadi keesokkan kerana orang tua beliau baru sahaja kembali ke Rahmatullah dan harus bergegas pulang. Anggota sukarela yang hadir telah sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah ayah mentua beliau dan kutipan sumbangan kilat dilakukan oleh pegawai bertugas.
Artikel Oleh : Pbt Mohd Nakhain (BN1 R515AW)

Isnin, 21 Februari 2011

Gagah Setia - Pameran HUT Tentera Darat Malaysia

Mahkota - Melambangkan Taat Setia Tentera Darat Malaysia kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Bulan dan Bintang - Melambangkan sikap anggota Tentera Darat Malaysia yang taat setia kepada agama Islam yang merupakan agama rasmi Negara. Perkataan Allah dan Muhammad melambangkan Tuhan Yang Maha Esa dan Rasulullah sebagai pesuruh-Nya. Berlian melambangkan kekayaan hasil bumi yang dinikmati rakyat Malaysia. Kalungan Bunga Padi sebanyak 16 butir menunjukkan 16 kor yang terdapat di dalam Tentera Darat Malaysia. Keris Bersilang Duku Ilang melambangkan keperwiraan. Lambang ini menunjukkan pantang undur dan sanggup berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir.

Pameran dan Demonstrasi besar-besaran Aset Tentera Darat Malaysia

TENTERA Darat Malaysia (TDM) sebagai salah satu cabang perkhidmatan darat dan komponen terbesar di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudahpun berusia 78 tahun dan sambutan Hari Ulang Tahun TDM pada 1 Mac 2011 sejak penubuhannya pada 1 Mac 1933. TDM meliputi beberapa pasukan tempur dan pasukan bantuan tempur yang diberikan tugas mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh

Pada usia itu, TDM sudah melalui pelbagai fasa pembangunan, kecemerlangan dan evolusi terutama dalam soal aset, penggunaan teknologi terkini serta pembangunan sumber manusia.

Kenderaan ringan platform senjata "Kenderaan taktikal bermobiliti tinggi"

Sejarah moden Tentera Darat Malaysia bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagaiKompeni percubaan Pasukan Askar Melayu pada 1 Mac 1933. TDM kini sudah mara ke depan dengan pemilikan pelbagai aset yang ada antaranya tercanggih di dunia.

Namun, segala pencapaian yang dikecapi itu tidak bermakna sejarah mengenai TDM wajar dilupakan begitu saja kerana ia merupakan satu titik tolak kepada kecemerlangan yang diperolehi pada hari ini.

Pada 4 – 6 Mac 2011 bertempat di Dataran Merdeka, TDM mengadakan Pameran besar-besaran segala aset-aset TDM yang ada untuk dipertonton kepada umum dan ia adalah salah satu acara yang diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun TDM ke-78 yang disambut pada 6 Mac nanti.

TDM sering menjadi perhatian umum terutama membabitkan peranannya.

Walaupun ancaman komunis sudah terhapus, namun peranan TDM dilihat terus penting. Pada masa sama, kewibawaan TDM juga dapat dilihat dengan tugasannya di luar negara di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau dalam konteks bantuan kemanusiaan, salah satu daripada banyak faktornya ialah komitmen tinggi setiap anggota.

Perkembangan terkini dalam pertahanan negara khususnya latihan dan kemampuan TDM. Ia diambil kira dari aspek aset, sumber manusia, semangat anggota dan latihan. Ia merangkumi kesiapsiagaan.

TDM hanya melengkapkan elemen berkenaan kepada pasukan-pasukan tempur sahaja. Ini kerana mereka akan melaksanakan tugas-tugas yang diberikan untuk pertahanan barisan depan.

Tidak semua pasukan dalam Tentera Darat mencapai tahap ini tetapi memadai kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan untuk menjayakan operasi.

Khususnya pasukan-pasukan khas seperti komando, Para, tempur dan mekanisme. Mereka seharusnya mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi termasuklah unit bantuan artileri kepada pasukan tempur tadi dan pasukan pertahanan udara.

Jadi dengan adanya konsep kesiapsiagaan, TDM boleh melaksanakan tugas dalam pelbagai keadaan.

Kemahiran dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh anggota Tentera Darat juga memainkan peranan.

Sebelum ini ancaman paling besar bagi Tentera Darat ialah pengganas komunis, tetapi pada masa sekarang dan akan datang bentuk ancaman sukar diramal dan dikenal pasti, tambahan pula kini teknologi berkembang pantas, akan tetapi bagi rantau sebelah sini, keamanan akan berterusan dengan adanya beberapa perjanjian dua hala dimeterai antara Malaysia dengan negara-negara lain.

Mungkin apa yang dihadapi oleh negara-negara di sebelah sini ialah ancaman bersama iaitu pengganas. Mengenai ancaman yang boleh mengganggu kepentingan negara pula, dengan latihan secara berterusan, pasukan tentera kita bersedia berdepan dengan apa saja ancaman pada bila-bila masa.

Sebenarnya itulah tujuan ditubuhkan pelbagai pasukan khas dalam TDM. Ia membolehkan TDM sentiasa bersedia menghadapi ancaman itu.

Malaysia dikelilingi oleh pelbagai konflik dalaman yang dialami jirannya seperti di selatan Thailand, isu Thailand-Kemboja dan sebagainya.

Rakyat tidak perlu khuatir kerana TDM ada mekanisme berkenaan kedudukan keselamatan di sempadan. Buat masa ini, di sempadan sebelah Malaysia masih aman.

TDM sentiasa mempunyai Moral yang tinggi, bukan sahaja kerana kepimpinan yang berhemah malah meliputi aspek latihan dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada mereka.

Ia bukan sahaja diberikan kepada anggota malah keluarganya juga. Jadi melalui nilai kualiti hidup tinggi maka moral anggota pun meningkat. Bahkan kerajaan sendiri begitu menghargai sumbangan dan perkhidmatan setiap anggota tentera kita.

Dengan kemudahan, latihan dan peralatan dimiliki, anggota tentera darat kompetitif, profesional dan berilmu tetapi yang paling penting, mestilah nampak berkeupayaan mempertahankan negara.

Rakyat pasti bergantung kepada anggota Tentera Darat untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Mereka harus ingat, Tentera Darat merupakan tulang belakang pertahanan negara.

Author

Twitter

 

Categories

Site Info

Followers

Rejimen 515 AW Kem Wangsa Bukit Keramat Copyright © 2009 DarkfolioZ is Designed by Bie Blogger Template for Ipietoon
In Collaboration With fifa